Sunday, 20 May 2012

Minggu : 4
Hari : Rabu
Tarikh : 14 Mac 2012
Masa : 10:00 pm

  Hari ini merupakan hari pertama Puan Puteri Afzan masuk ke kelas kami. Pertemuan pertama kami dengan beliau dimulakan dengan slot berkenalan. Beliau memperkenalkan diri beliau sebagai pensyarah yang akan mengajar kami dalam subjek KAA3043, Pengurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Beliau telah menceritakan pengalaman beliau semasa berada di luar negara. Diriku begitu teruja mendengarnya, terasakan ingin mengikuti jejak langkah beliau. Pengalaman beliau telah memberi inspirasi kepada diriku. Setelah selesai bercerita, beliau memberikan beberapa tugasan yang perlu kami lakukan bagi kursus ini sepanjang semester ini. Salah satu tugasan yang diberikan beliau adalah reflecting writing, tugasan ini memerlukan pelajar untuk menulis diari mingguan yang berkaitan dengan Kursus Pengurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak.

 Setelah tugasan ini diberikan, saya teringat tentang seminar yang saya hadiri pada 7 dan 8 Mac 2012 yang bertajuk Seminar With Emeritus Professor Aline-Wendy Dunlop yang telah dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Professor Aline-Wendy merupakan antara professor yang berpengaruh di Scotland, beliau memegang beberapa jawatan penting di sana antaranya A Vice-President Of The British Association Of Early Childhood Education – Early Childhood, A Member Of Scottish Government Autistic Spectrum Disorders Reference Group dan Contributor To The International Masters In Early Childhood Education And Care. Selama 2 hari seminar tersebut diakan. Dalam seminar tersebut, Professor Aline-Wendy banyak menerangkan tentang pentingnya pendidikan awal kepada kanak-kanak, beliau juga menerangkan bagaimana kerajaan beliau sangat menitikberatkan pendidikan ini disana dan telah banyak peruntukan yang telah diberikan dalam membangunkan bidang ini sebagai bidang yang tidak dipandang remeh oleh kerajaan mereka.

 Professor Aline-Wendy juga menceritakan pengalaman beliau dalam mengajar kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pembelajaran seperti kanak-kanak autisme. Beliau menceritakan bagaimana beliau dapat menarik minat kanak-kanak tersebut untuk belajar bersama-sama rakan-rakannya yang lain. Namun begitu, usaha yang dijalankan oleh beliau bukan mengambil masa yang singkat kerana keadaan ini mengambil masa yang agak lama dan memerlukan ketahanan dari segi mental dan emosi dalam mengendalikan kanak-kanak dalam golongan ini. Beliau juga menerangkan langkah-langkah yang wajar diambil dalam mengatasi kanak-kanak yang berkeperluan khas di dalam kelas. Pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang kanak-kanak wajar dicontohi kerana beliau merupakan antara individu yang berjaya dalam bidang ini.

 Pada Sabtu, 10 Mac 2012, saya telah menyertai Program Motivasi dan Kerjaya Pendidik Awal Kanak-Kanak Sesi 2011/2012 yang bertempat di Universiti Malaya (UM) anjuran Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaya (PPAKKUM). Program ini diadakan dengan bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta dalam mengetahui hala tuju serta kerjaya yang boleh mereka ceburi sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak. Program seperti ini juga mampu memberikan satu titik permulaan yang baru kepada para peserta untuk lebih berdaya saing serta sentiasa mencari peluang untuk memastikan kerjaya yang mereka lakukan adalah yang terbaik. Selain itu, program boleh membantu dalam mengelakkan masalah pengangguran memandangkan pelbagai penjelasan yang telah diberikan oleh para penceramah akan sedikit sebanyak menjadi inspirasi dan membuka mata pelajar dalam membantu mereka memilih kerjaya yang baik dan sesuai mengikut yang kerjaya mereka ceburi.

 Program telah dihadiri oleh beberapa tokoh penceramah yang bagus seperti Prof. Madya Dr. Mariani Md Nor, Pn. Hajah Mahanom Basri, CR Nik Syuharul Afizo, Pn. Jamilah Samian dan beberapa orang bekal pelajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak UM yang telah berjaya. Prof. Madya Dr. Mariani Md Nor banyak merupakan panel yang memberikan ucapan pada slot pertama yang bertajuk Early Childhood Educator : ‘A Multi Tasking Person’. Dalam ucapan beliau, beliau banyak memberikan ucapan mengenai perkara-perkara yang harus dititikberatkan oleh bakal pendidik yang bakal bergiat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini. Prof. Madya Dr. Mariani menerangkan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi jika menjadi warga pendidik yang berjaya dalam hidup. Perkongsian pengalaman dengan merupakan sesuatu yang amat bermakna kerana beliau mempunyai banyak pengalaman dan cara yang digunakan dalam mengendalikan pendidikan awal ini kepada kanak-kanak.

 Namun begitu slot yang paling menarik perhatian saya ketika menghadiri program motivasi ini adalah ketika slot yang diberikan oleh panel kedua iaitu Puan Hajah Mahanom binti Basri. Puan Hajah Mahanom telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Perkongsian Pengalaman Berkenaan Perniagaan Pembukaan Tadika dan Taska. Slot yang disampaikan oleh Puan Hajah Mahanom sangat berilmu bagi sesiapa sahaja yang ingin membuka taska dan tadika. Beliau menerangkan segala perkara dan prosedur yang perlu dilakukan bagi membuka taska. Puan Hajah Mahanom juga menceritakan tentang bagaimana pengurusan sesebuah taska boleh menjadi lancar dan baik.

 Puan Hajah Mahanom merupakan salah sorang kepada pengasas Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang digunakan oleh semua prasekolah di seluruh Malaysia. Namun begitu, Puan Hajah Mahanom tidak mempunyai pendidikan berlatar belakangkan awal kanak-kanak. Beliau merupakan salah seorang akauntan di sebuah bank di Malaysia. Kerjaya yang banyak dan terlalu sibuk sehingakan tidak ada masa dengan keluarga dan anak-anak menyebabkan beliau mengambil langkah untuk berhenti kerja. Setelah berhenti kerja, beliau menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun selepas suatu tempoh beliau merasakan ingin melakukan perubahan dan pada ketika itulah beliau mengambil langkah untuk mengikuti kursus awal kanak-kanak. Selepas itu beliau telah membuka pusat asuhan kanak-kanak dan di situlah bermulanya kerjaya baru beliau.

 Saya agak tertarik dengan kisah yang dikongsikan oleh beliau kerana pengalaman dia yang pada awalnya sudah mempunyai kerjaya yang agak baik tetapi berhenti kerana mahu membuat pilihan kerjaya yang lain. Pada mulanya masyarakat memandang rendah dengan keputusan yang diambil beliau. Namun, kini beliau menjadi antara orang yang disegani dalam negara ini terutamanya dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak. Kejayaan yang dikecapi beliau sekarang adalah hasil daripada perit jerih yang beliau usahakan selama ini sehingga beliau mendapat tempat yang disegani sekarang ini.

1 comment:

  1. soo interesting... thanks for the info.. i like it.. :-)

    ReplyDelete